Selamat Datang di Website ini dengan senang hati

Selasa, 17 Juli 2012

kehormatan bagi wanita

Kemuliaan Wanita Dari Kacamata Agama

Keterbukaan pemikiran dunia hari ini, sedikit sebanyak telah mempengaruhi budaya dan hubungan sosial manusia tidak kira dimana sahaja samada lelaki mahupun wanita.

Kepelbagaian teknologi serba canggih dewasa kini menjadi satu senario baru kepada wanita untuk bersaing dengan lelaki agar dilihat setaraf daripada pelbagai aspek merangkumi pendidikan, pangkat, idea dan seumpamanya.

Realiti masa kini memungkinkan peranan wanita sedikit berbeza berbanding satu masa dahulu, namun begitu kemuliaan wanita dalam Islam adalah diletakkan ditempat sangat istimewa.

Ini kerana pengorbanan wanita dalam memastikan tahap kualiti modal insan dapat dijana dengan pendidikan awal bermula daripada rumah. Kepayahan wanita untuk melahirkan dan membesarkan bakal pemimpin akan datang merupakan satu perkara yang tidak dapat disangkal.

Oleh yang demikian, kemuliaan wanita semakin lama semakin cuba dipudarkan dengan pelbagai alternatif songsang yang sama sekali menyimpang daripada landasan sebenar syariat Islam. Pemikiran wanita telah diracuni oleh budaya barat sehingga diekpresikan melalui penampilan dan gaya hidup seakan-akan hidup dalam ruang lingkup keseronokan semata-mata.

Kebebasan telah menjadi sandaran kepada mereka untuk menuruti segala keinginan yang akhirnya menatijahkan kekecewaan dan penyesalan yang tidak berpenghujung.

Bagaimanakah kita mampu untuk mengulangi sejarah kegemilangan serikandi Islam yang berjuang diatas kefahaman dan pengorbanan demi menegakkan Islam seantero dunia. Andai senario ini berterusan berlaku tanpa difikirkan penawarnya tidak mustahil satu masa nanti kemuliaan wanita terus pudar, akhirnya tiada nilai dimata manusia apatah lagi agama.

Kita perlu hayati bersama beberapa tokoh serikandi Islam agar membuka paradigma pedusi untuk memikirkan apakah peranan wanita yang sebenarnya. Dengan kemahiran dan kebolehan
yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka lantas digunakan sebaiknya demi perjuangan Islam. Mereka adalah :

UMMU ATIYAH : Bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawat pejuang-pejuang Islam yang cedera di medan perang dan menyediakan makanan untuk mereka.

RUFAYDAH AL-ASLAMIYYAH : Doktor wanita Islam pertama, Nabi Muhammad SAW sediakan sebuah khemah khas di Masjid Nabawi untuk tujuan rawatan bagi pejuang-pejuang Islam yang cedera ketika Perang Khandaq.

AS-SHIFA' BINTI ABDULLAH : Bertugas sebagai guru yang mengajar muslimah membaca dan menulis ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup.

AS-SHIFA' : Dilantik oleh Umar Al-Khattab sebagai auditor syariah di pasar ketika itu bagi memastikan segala urusan yang dijalankan menepati landasan syariah Islam.

Tokoh-tokoh ini mampu menempa nama mereka dalam lembaran sejarah Islam kerana memperanankan kemahiran yang ada bukan untuk kepentingan dunia dan keseronokan semata-mata tetapi demi meninggikan syiar Islam sekaligus meninggikan kemuliaan wanita yang sememangnya diiktiraf oleh Islam.

Martabat wanita yang diangkat oleh Islam satu masa dahulu perlu dipertahankan agar ia tidak pudar dek kerana pemikiran negatif, kini menjadi satu budaya yang bakal membunuh posisi wanita dalam masyarakat satu masa nanti.

Seperti ada kata-kata berbunyi "Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia". Maka sewajarnya kita perlu memastikan, keizzahan wanita bukan dilihat pada kelembutannya tetapi ketegasan untuk mempertahankan integriti muslimah agar terus dihormati dunia.

Gagasan pembawaan HEWI PMRAM "Julang Keilmuan Jana Keizzahan" ini bertepatan dengan kehendak semasa untuk mengembalikan kemuliaan wanita berlandaskan syariat Islam.

Oleh yang demikian, wanita perlu bersedia menyiapkan diri dengan segala bentuk kemahiran untuk membantu perjuangan Islam. Mana mungkin sejarah tidak mampu berulang andai semaksima usaha yang diberikan, mampu untuk direalisasikan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar